Sumber: Malaysia Gazette
KUALA LUMPUR – Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) Global Impact Challenge 2025 kini dibuka untuk penyertaan daripada seluruh dunia.
Pertandingan ini menyeru penyertaan yang memberikan penyelesaian kewangan yang didorong impak berserta cadangan untuk mengukuhkan lagi daya tahan sosial dan menangani cabaran iklim.
Bank Negara Malaysia berkata, matlamat cabaran ini adalah untuk mendorong penyelesaian inovatif dalam kewangan Islam serta menggalakkan pelaburan dalam teknologi kewangan (fintech) dan syarikat pemula yang berorientasikan impak.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia dan Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council, MLC) ini berhasrat untuk menggalakkan percambahan dan inovasi rentas sempadan dalam kewangan beretika dan berasaskan nilai.
Cabaran ini diadakan dengan rakan kerjasama global termasuk Hong Kong Trade Development Council, Islamic Finance Council UK, Islamic Development Bank dan World Bank Group Inclusive Growth & Sustainable Finance Hub di Malaysia.
Asia School of Business’ Innovation & Entrepreneurship Center merupakan rakan ilmu dan penyedia program penggalak, manakala Fintech Association of Malaysia pula merupakan rakan ekosistem.
Peserta yang disenarai pendek akan menyertai program penggalak yang direka untuk meningkatkan lagi penyelesaian kewangan berorientasikan impak yang menangani daya tahan sosial dan cabaran iklim.
Program ini disusun atur untuk membantu peserta meningkatkan daya maju komersial penyelesaian mereka serta memperkukuh impak yang boleh diukur.
Maksimum empat pemenang akan dipilih semasa hari pembentangan pada 12 Oktober 2025 dan pemenang akan diumumkan semasa Global Islamic Finance Forum 2025 pada 13 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
Selain hadiah wang tunai, pemenang akan menerima sokongan yang menyeluruh daripada rakan kerjasama selama hingga 12 bulan.
Penyertaan ditutup pada 18 Ogos 2025. – MalaysiaGazette